“Malam ini saya akan tunjukkan kepada tuan-tuan semua tentang Parallel Thinking,” kata seorang penceramah dalam satu slot motivasi.
Beliau menyambung, “Parallel Thinking digunakan apabila kita ingin masuk pasaran yang sudah ada pemain besar di dalamnya. Contohnya dalam pasaran air minuman coklat, kita ada Milo sebagai pemain besar.”
“Jadi, bagaimana Parallel Thinking ini berfungsi?” soal salah seorang daripada peserta.
“Nanti saya terangkan. Sekarang kita perlu tahu apa bahayanya kalau kita mahu bersaing dalam pasaran yang sudah ada pemain besar.”
Malam itu kami belajar beberapa perkara menarik berkaitan dengan Parallel Thinking.
Apa Itu Parallel Thinking
Parallel Thinking merupakan satu istilah yang dicipta oleh Edward De Bono. Berfikir secara paralel membolehkan kita mencapai sesuatu tujuan dengan menggunakan cara atau jalan yang berbeza.
Menurut Tuan Irfan dalam blog beliau, beliau mengenali istilah Parallel dalam asas garis lurus dalam Matematik. Iaitu dua garis lurus yang tidak bersentuh satu sama lain meski sama hala tujunya.
Bahaya Bersaing
Apabila sesuatu pasaran itu sudah ada pemain besar, ia bermaksud segala yang berkaitan dalam pembuatan produk tersebut sudah dimonopoli oleh pemain besar tersebut.
Sebagai contoh, satu waktu dahulu pasaran pembuatan air minuman dimonopoli oleh Syarikat Coca Cola. Segala syarikat pembuatan tin minuman dipegang oleh Coca Cola. Termasuk juga pengedar air minuman, juga dipegang oleh Coca Cola.
Secara teorinya pemain besar boleh buat bermacam cara supaya syarikat yang baru masuk tidak beroperasi. Bagi membuat minuman bergas, saudara perlu menggunakan tin minuman. Syarikat Coca Cola boleh menggertak syarikat pembuatan tin minuman supaya tidak menjual tin kepada saudara.
Berapa banyak sangatlah pengeluaran minuman yang pemain baru mampu jika hendak dibandingkan dengan pemain besar. Jadi, syarikat berkaitan dengan produk saudara akan menarik diri daripada membekalkan kepada saudara.
Pemain Kecil Masuk Pasaran Besar
Jadi, cara bertindak secara parallel mengatakan kita perlu menggunakan jalan yang lain untuk masuk pasaran tersebut.
Kita ambil contoh syarikat Yeo’s. Yeo’s tidak menawarkan air minuman bergas. Yeo’s masuk pasaran dengan menawarkan minuman tidak bergas seperti air soya, tebu, teh krisantinum dan lain-lain.
Minuman seperti itu dapat dipakejkan dengan kotak. Jadi Yeo’s tidak berurusan dengan syarikat pembuat tin atau botol. Apabila jenis produk berbeza, sebarang servis yang berkaitan dengan produk tersebut juga berbeza. Jenis pembelinya juga berbeza.
Jadi Yeo’s tidak perlu bersaing dengan syarikat Coca Cola. Dua-dua masih boleh beroperasi sehingga kini. Selepas saiz syarikat Yeo’s besar, barulah mereka masuk ke dalam pasaran minuman dalam botol dan tin.
Apabila syarikat kecil ingin masuk pasaran yang sudah ada pemain besar, jangan tiru apa yang telah dibuat oleh pemain tersebut. Syarikat kecil tiada duit yang banyak seperti yang pemain besar tersebut ada.
Nabi Muhammad membina tamadun Islam
Antara masyarakat yang besar dan hebat pada zaman Nabi Muhammad adalah masyarakat Rom. Apabila Nabi Muhammad diberi tugas besar sebagai seorang rasul untuk membentuk kembali acuan masyarakat Arab, beliau tidak pun meniru apa yang ada dalam peradaban Rom.
Sebaliknya beliau menggunakan teknik-teknik yang ditunjukkan oleh Allah kepada beliau.
Pertama sekali beliau menerapkan kefahaman tentang Akidah terlebih dahulu. Tiada sebarang unsur Rom dalam acuan Islam yang dibina Nabi Muhammad. Apabila kita ingin membina tamadun, janganlah meniru cara-cara tamadun lain. Bina mengikut acuan sendiri.
Pasaran Dakwah
Sering berlaku kes rebut-merebut untuk menarik seseorang itu masuk ke dalam organisasi.
“Kumpulan bersama kami lebih bagus daripada mereka!”
“Kumpulan mereka tidak patuh panduan yang digariskan!”
Dalam satu tempat itu boleh dikatakan terlalu ramai pemain atau kumpulan dakwah. Jadi, pasaran dakwah pun boleh dikatakan sudah ramai pemain besar. Jika ada seorang yang bagus, ‘islamik’ dan berketerampilan, berlaku kes merebut insan tersebut antara kumpulan-kumpulan dakwah yang ada.
Hal ini berlaku kerana cara yang mereka gunakan sama – setiap kumpulan dakwah ada pengisian, ada daurah kursus-kursus, ada training dan ada perkhemahan.
Kursus-kursus yang mereka anjurkan lebih kurang sama tajuknya. Maka jenis golongan yang mereka akan dapat juga sama. Ada banyak kes seorang peserta pergi ke ceramah yang tajuknya sama tetapi dianjurkan oleh kumpulan yang berbeza.
Kenal Pasti Apa Fokus Atau Tujuan Kita
Sekiranya kumpulan-kumpulan ini bertindak dan berfikir secara parallel, kemungkinan untuk mendapat orang yang sama itu kurang.
Fokus kita semua sama, iaitu mahukan Islam itu dijulang tinggi dan diamalkan oleh semua orang. Jadi tiada alasan untuk kita menggunakan kreativiti yang ada untuk cipta program yang lebih segar untuk pasaran yang berbeza.
Pasaran dakwah ini sangat besar!
Latihan dan latihan..... :)
11 years ago
No comments:
Post a Comment