Monday, August 30, 2010

Sebelum Loceng Terakhir Berbunyi

Masih ingatkah kita sewaktu zaman persekolahan. Loceng sering mengingatkan kita waktu untuk rehat dan balik. Tapi kini, kita tidak lagi diperdengarkan dengan bunyi itu lagi. Tanpa kita sedar, setiap hari kita dikejutkan dengan loceng kehidupan yang tidak berbunyi. Terpulang kepada diri kita sama ada untuk sedar atau tidak. Loceng yang dimaksudkan adalah ujian khalid kepada hambaNya. Setiap dugaan yang menimpa diri kita sebenarnya adalah untuk menyedarkan kita dari kesilapan. Seperti firmanNya dalam surah al-Ankabut ayat 2-3 yang bermaksud;

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata; kami beriman, sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian demikian), nyata apa yang diketahui tentang orang-orang yang dusta."


Ujian Allah itu pelbagai bentuk. Adakalanya manusia diuji dengan kesenangan dan kemewahan untuk menguji sama ada manusia bersyukur dengan kurniaanNya. Ada juga yang diuji dengan kesusahan dan kesakitan. Apa jua dugaan yang mendatang ia adalah untuk menguji sejauh mana tahap kesabaran dan ketakwaan hambaNya. Ingatlah! Allah tidak akan membebani hambaNya melebihi kemampuan mereka. Dan setiap ujian yang mendatang itu adalah untuk meningkatkan darjat seorang hamba. Apa sekalipun cara ujianNya, hendaklah kita merayu dan mengadu kepadaNya. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 45 yang bermaksud;

" Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk."


Persoalannya kini, apabila kita diundang dengan masalah adakah Allah tempat mengadu? Kebiasaannya kita lebih suka mencari manusia untuk menceritakan dan mendapatkan pendapat bagi menyelesaikan masalah. Sedangkan manusia mempunyai pendapat yang pelbagai. Memetik kata-kata Syeikh Sayyid Abdul Kadir, "Tidak ada yang menjauhkanmu dari redha dan rahmatNya kecuali kebergantunganmu kepada manusia, alat-alat ketrampilan, akal dan perolehan."


Sewajarnya, kita kembali kepada Dia yang telah menciptakan manusia. Berfikiran tanpa melibatkan Tuhan akan menafikan ilham dan panduan dari Tuhan. Penggunaan akal tanpa dipimpin oleh hati akan menghasilkan sesuatu yang tidak bermanfaat. Oleh itu, apa sekalipun yang kita lakukan hendaklah dipandu oleh hati yang bertakwa.


Kehidupan manusia hanyalah 3 saat. Satu saat pertama telah pun berlalu. Saat kedua sedang kita lalui. Namun, saat ketiga belum pasti kita akan kecapi. Gunakanlah nikmat yang dikurniakan sebaiknya. Sebelum loceng terakhir berbunyi, jalankan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita. Seorang bayi yang baru dilahirkan pasti akan menangis. Kenapa? Ini kerana lahirnya seorang bayi itu ke dunia, dia merasakan terlalu berat amanah yang terpikul ke atasnya. Iaitu sebagai seorang hamba dan khalifah.


Sebagai seorang hamba, manusia perlu melaksanakan ibadah-ibadah yang berbentuk khusus di samping mendalami fardu ain. Manakala sebagai khalifah, manusia perlu menunaikan ibadah yang berbentuk umum dan menegakkan fardu kifayah. Firman Allah s.w.t;

"Akan ditimpa kehinaan di mana sahaja kamu berada melainkan kamu menegakkan dua hubungan iaitu hubungan dengan Allah (hablumminallah) dan hubungan dengan manusia (hablimminannas)."-Surah al-Imran : 112


Kini, semua pilihan berada ditangan kita. Terpulang sama ada kita mahu memilih kehidupan yang soleh atau kehidupan yang sia-sia. Apa yang perlu diingat, Allah akan menuntun kita ke jalan yang baik, hanya apabila kita ingin dituntunNya. Namun, Dia akan membiarkan kita apabila kita memilih untuk tidak dituntun olehNya. Sebelum loceng terakhir berbunyi, ayuh! Bangkitlah lakukan seberappa banyak kebaikan dan serulah ke jalan Tuhanmu selagi peluang masih terbuka...

No comments:

Post a Comment