Sunday, January 30, 2011

Bersederhanalah

"Kita nak pindah. Kita nak minta maaf dengan semua...kot2 lepas ni dah tak jumpa korang lagi."
"Tapi kenapa??"
"Kita dah tak nak duk sini...suasana dah lain, x sama macam dulu..."

Terkedu saya mendengar luahan hati seorang teman, kerana putus cinta segalanya gelap, hanya kerana seorang lelaki...

"Jangan kerana dia kau hilang arah, sebab dia adalah orang yang paling tak layak musnahkan hidup kau! Dia tak layak!!"

Saya hanya menganggukkan kepala tanda setuju. Apakah ini cagaran bagi sebuah perhubungan? Ya, tak salah untuk bersedih tapi berpijaklah di bumi yang nyata. Hadapi realiti dengan penuh ikhlas agar hati sentiasa redha dengan segala ketentuanNya.

Cinta manusia tak kemana. Saat membenarkan diri untuk dicintai, bersedialah untuk hati dilukai. Itulah fenomena alam. Analoginya cukup mudah. Bayangkan anda memiliki sebuah telefon bimbit berjenama dan mahal harganya, pasti akan dijaga dengan penuh teliti dan berhati-hati. Namun sampai suatu masa, telefon tersebut akan rosak, mungkin hilang tercicir atau diambil orang. Begitulah juga dengan orang yang kita sayangi, ibu, bapa, adik-beradik, pasti akan meninggalkan kita.

Dunia hanya pinjaman. Begitu jugalah dengan cinta dan kasih sayang segalanya milik Allah. Andai sampai suatu ketika Allah mengalihkan cinta itu, redhalah dan kembalikan segalanya hanya kepadaNya. Bersederhanalah dalam menyayangi dan berhati-hatilah sebelum mencintai...


"Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik." (Ali Imran:14)

Saturday, January 1, 2011

Personaliti Melalui Warna

Ramai beranggapan warna mampu mempengaruhi personaliti seseorang. Manusia dan warna saling berkait. Warna pakaian seseorang pula mampu menceritakan individu di sebalik penampilannya.

Menurut Pakar Psikiatri dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Darul Iman Malaysia (kini UNISZA), Dr Rohaya Husain (2009), warna dan manusia adalah dua komponen yang saling bersilang tindak dan mempengaruhi antara satu sama lain.

Mengikut Hukum Kronologi Berulang, tujuh hari dalam seminggu akan membawa bersama getaran cahaya yang mendominasinya. Setiap hari membawa getaran berbeza dan berulang semula setelah lengkap satu pusingan. Getaran cahaya ini didapati menyamai dengan frekuensi getaran beberapa warna yang mendominasi hari. Sesuatu kerja yang dijalankan ketika masa resonans dikatakan akan berjalan lancar.

Hari jumaat, penghulu segala hari bagi umat Islam digalakkan memakai hijau. Sabtu merupakan hari paling sesuai bersosial (hari cuti umum) disarankan memakai merah. Hari Ahad gerakan zarah didapati lebih tertumpu kepada satu kawasan sahaja, digalakkan memakai hitam. Hari isnin merupakan hari terbaik untuk menyelesaikan masalah kerana otak menjadi lebih kreatif dan kerja lebih efisien. Oleh itu digalakkan memakai warna putih. Bunga berwarna putih didapati didapati jauh lebih mekar pada hari isnin berbanding hari-hari lain.

Kicauan burung didapati lebih merdu (resonans dan bermomentum) pada hari rabu. Paras hormon tiroksina yang dirembes oleh kelenjar tiroid didapati berada pada paras optimum menjadikan segala yang diluahkan akan lebih berkesan. Hari tersebut amat sesuai untuk berhujah, bermesyuarat, berpidato dan memakai warna biru. Warna biru merupakan perangsang kelenjar tiroid dan membolehkan kita mendapat resonans.



Warna kuning dan oren didapati warna paling ideal bagi hari khamis. Sistem penghadaman yang amat bertenaga pada hari khamis menghadamkan sisa makanan dan menukarkannya kepada tenaga. Berpuasa pada hari tersebut pula meningkatkan kandungan asid urik, memecahkan lemak dan protein. Ringkasnya, memakai warna kuning pada hari khamis mampu meningkatkan kualiti penghadaman. Begitu juga dengan oren, meningkatkan sistem reproduktif. Oleh itu, hari khamis merupakan hari terbaik merancang zuriat yang sihat.

Tanpa kita sedari, warna mempengaruhi tubuh manusia. Kombinasi warna tertentu boleh mempengaruhi fikiran dan emosi seseorang. Warna merah jambu misalnya, merupakan warna kasih dan penuh emosi. Memakai warna merah jambu meningkatkan kuasa pujuk seseorang. Elakkan memakai warna merah untuk memujuk. Orang yang ingin membunuh diri didapati akan terjun serta-merta jika pemujuk memakai warna merah, tetapi mudah lembut hati jika si pemujuk memakai pink.

Kumpulan pengkaji antropologi dari Universiti Durham telah membuktikan bahawa warna mempengaruhi mood pemain dalam pertandingan Sukan Olimpik pada tahun 2004. Atlit-atlit yang berpakaian seragam warna merah bermain dengan penuh semangat dan mengalahkan pasukan-pasukan lain. Para ilmuan berpendapat seragam merah telah memberikan satu kesan dominasi kepada pemakai. Apakah kemenangan The Red Warriors juga ada kaitannya dengan warna?

Dan katakanlah, "Segala puji bagi Allah, dia akan memperlihatkan kepadamu tanda-tanda kebesaran-Nya, maka kamu akan mengetahuinya. Dan Tuhanmu tiada lalai dari apa yang kamu kerjakan." (QS. An-Naml: 93)