Friday, October 22, 2010

Pengembala yang Ikhlas

Ada seorang pengembala kibas terkenal kerana sifat pemurahnya suka membantu orang yang dalam kesusahan. Beliau juga sangat alim dan merendah diri. Tapi apa yang menghairankan penduduk, beratus-ratus ekor kibas dalam kandangnya tidak pernah luak walaupun pengembala tersebut menjual semua kibasnya. Keajaiban itu dianggap penduduk sebagai petanda pengembala seorang wali Allah.



Pada suatu hari, penduduk kampung telah bersepakat untuk meminta pengembala tersebut menjadi imam bagi solat zohor. Mereka ingin mengambil berkat daripada sifat pemurah pengembala. Pengembala tersebut bersetuju mengimamkan solat pada petang itu. Ketika menjadi imam, pengembala hanya membaca surah al-Fatihah dan surah yang berikutnya hanyalah ayat lazim yang mudah dengan bacaan tajwid yang kurang sempurna. Setelah selesai sembahyang, semua jemaah berasa geli hati. Ada yang kecewa kerana merasa tertipu dengan kealimannya. Mereka tersilap kerana menganggap pengembala sebagai wali Allah sedangkan bacaan tajwidnya kurang sempurna.

Pada malam harinya, seluruh alim ulama dan penduduk mendapat mimpi yang sama. meraka bermimpi didatangi oleh seorang pemuda kacak dan tinggi. pemuda tersebut memberitahu bahawa seumur hidup mereka, itulah kali pertama ibadah solat mereka diterima oleh Allah. Semua penduduk menangis sebaik tersedar dari mimpi mereka. Keesokan harinya, selepas solat subuh di masjid, semua penduduk sibuk menceritakan perihal mimpi masing-masing.

Akhirnya kata sepakat dibuat. Mereka mesti menemui pengembala untuk meminta maaf. Sebaik tiba di lokasi tempat pengembala itu tinggal, alangkah terkejutnya apabila mendapati pengembala tiada di situ. Paling menghairankan apabila kandang ternakannya turut ghaib bersamanya.

Penduduk kampung berasa menyesal. Mereka menangis dan bertaubat di atas kekhilafan mereka. Kini mereka sedar bahawa tiada siapa yang layak dan berhak mendahului Allah dalam soal menentukan amalan seseorang. Bahkan ibadah mereka sendiri belum pasti kedudukannya di sisi Allah. Firman Allah yang bermaksud;

" Dan Dia lebih mengetahui (tentang keadaanmu) ketika Dia menjadikan kamu dari tanah dan ketika kamu masih janin dalam perut ibumu; maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertakwa."
(An-Najm: 32)

No comments:

Post a Comment